SEMENTARA MENUNGGU PULANG: LEILA CHUDORI DAN PENGUNGSI


Oleh :  Muhamad Haji Saleh

imagePada tahun 1965 pemerintahan Sukarno dijatuhkan oleh Suharto dan sekumpulan generalnya. Mereka segera mendirikan sebuah pemerintahan yang kini dikenali sebagai Odre Baru. Ratus ribuan orang yang disangka atau dituduh terlibat dengan kumpulan kiri atau komunis, (walau pun tuduhan itu tidak benar), termasuk ahli keluarga mereka, dibunuh dengan kejam. Ribuan keluarga pula terlantar, dicantas dari kehidupan dan sejarah.

Sewaktu penggulingan itu beberapa orang wartawan daripada Kantor Berita Nusantara, sebuah organisasi berita negara sedang berada di Argentina, dikirim ke sana untuk menghadiri sebuah seminar.  Pasport mereka dicabut.  Akhirnya mereka tiba di Paris yang juga sedang bergolak dengan demonstrasi pelajar. Indonesia menjadi kacau dan keadaan politik tidak menentu. Keluarga dan teman mereka meminta supaya mereka menunggu sehingga negara menjadi aman. Berita yang tiba juga mengerikan –  beberapa orang yang tinggal sudah pun dibunuh.

Pulang ialah novel besar empat orang pengungsi politik dan beberapa teman mereka yang juga telantar di Eropah (setelah datang ke sini dari China, Rusia atau Belanda). Ini bukan cerita gembira kerana dalam bab-bab novel oleh Leila Chudori ini hidup mereka digantung di atas tali ketidaktentuan, khabar sedih, penceraian dan penderitaan. Banyak ironi menyeberang daerah keraguan ini.
Tanpa pilihan lain mereka mendirikan sebuah restoran Indonesia sederhana yang dinamakan Tanah Air, di Paris. Kerana watak utamanya, Dimas Suryo, dikisahkan sudah memperlihatkan bakat memasaknya sejak dia mahasiswa lagi. Kebolehan teman-teman lainnya menampung perusahaan kecil mereka dengan membantu menjaga akaun dan urusan pelayanan. Ini kisah rumit, serumit perbalahan dan peperangan ideologi, pertentangan peribadi, dan digandakan pula oleh bauran likat masalah di Indonesia yang selalu mengelak penyelesaian. Walau pun latarnya berbayang politik tapi ini cerita kemanusiaan dan kekejaman, ketidakadilan dan kebetulan takdir. Pelakonnya ialah semua manusia Indonesia, yang diwakili oleh mereka yang ditinggalkan (tanpa rela) di Indonesia, dan sekumpulan watak yang dipisahkan dari teras itu, tapi harus melakonkan cerita mereka seterusnya.

Pulang  menyentuh dan menyayat perasaan dan mempersoalkan makna keadilan, di Indonesia, di Perancis dan juga di mana-mana. Ceritanya berpusat kepada individu flaneur, pengungsi ini,  keluarga mereka, kepada  survival dasar dan penerusan harian, kepada penantian panjang penyelesaian yang tidak kelihatan rupanya, hinggalah kepada beberapa halaman terakhirnya.
Dalam kisah besar dan rumit ini dua buah dunia menjadi cakerawala cerita – Indonesia dan Perancis. Tapi walau pun sebuah dunia sedang diperikan kita selalu dibayangkan dunia yang satu lagi. Dalam akal fikiran kita ada satu dunia nyata dan ada satu lagi yang wujud bawah permukaan aliran kata-kata, di bawah sedar. Watak-watak Indonesia di Paris sering memimpikan dan mengenang keluarga mereka di Indonesia serta peristiwa baik dan buruk di sana. Sementara Lintang Utara, anak kepada Dimas dan isteri Perancisnya, Vivienne, menyimpan dua dunia di dalam dirinya. Sewaktu belajar di Paris dia mengkaji Indonesia dan merancang untuk ke Jakarta, dan mengusut kembali benang cerita ayahnya dan apabila di sana pula harus mengenang  ke Paris dan ibu bapanya dalam rindu dan pautan plotnya.

Cerita ini bermula dengan kisah zaman remaja beberapa orang  teman baik, yang akhirnya bekerja di  tempat yang sama, iaitu di Pejabat Berita Nasional. Watak-watak ini sudah mula terserlah ciri dan peribadi mereka di sini. Benang peribadi watak ditarik panjang dan kusut dalam pengungsian, dikembangkan. Oleh yang demikian Dimas Suryo yang sejak zaman mahasiswanya pandai memasak dijadikan tukang masak utama di restoran Tanah Air di Paris. Tjai pulak, yang biasa dengan dunia perdagangan dilukis sebagai selalu berdampingan dengan kalkulator. Maka dia pun menjadi bendahari perusahaan mereka bersama ini. Seterusnya Bimo Nugroho (Mas Nug) dan Risjaf menyelenggarakan perjalanan restoran. ..

Watak dasar ini dijalini dengan takdir buruk keluarga Hananto Prawiro dan isterinya, Surti Anandari, isteri Hananto, bekas kekasih Dimas, serta anak-anaknya. Suaminya ditangkap dan  dibunuh, dan dia serta anaknya diseksa berbulan-bulan melalui interogasi dan penghinaan.  Akhirnya dia berkahwin dengan seorang pegawai polis dalam suatu ironi yang menjengkelkan.
Cap jari tragedi berselerak di seluruh cerita yang penuh kekejaman ini. Keadilan bermata satu-prasangka, dan dihukum oleh pistol, balas dendam atau perasaan yang tidak diberikan imbangan fikiran. Ideologi berdarah di tangan dan mulutnya. Dan tangan dan mulut itu bermaharajalela untuk puluhan tahun dalam novel ini.

Bahagian terakhir bermula sama dramatisnya seperti  awal cerita. Pembunuhan beramai-ramai yang menanda permulaan Odre Baru diakhiri dengan kejatuhan Odre itu pada tahun 1998 dan ditandai oleh suatu pemerintahan yang lebih demokratis, yang menyerahkan kembali hak kepada rakyat Indonesia.  Anak kepada Dimas Surya yang pulang ke Jakarta untuk membuat filem dokumentari tentang watak dan sejarah pengungsi di Paris ini menjadi saksi separa-asing tapi juga sebahagian daripada segala yang berlaku. Yang disaksikannya ialah sejarahnya sendiri, sejarah ayahnya dan teman-temanya.  Pada masa kejatuhan Odre baru juga ayahnya meninggal di Paris dan pulang ke Tanah Air – ke Karet, tempat pengembumian penduduk Jakarta, termasuk Chairil, yang meramal masa depannya (dan dikutip oleh pengarang): di Karet, di Karet, daerahku y.a.d.

Bahasa Leila cuba mengelak cliché yang mengerumuni sastera kita, yang mencari jalan mudah dan mengikut lorong perasaan biasa. Oleh yang demikian beliau sering membelok ke daerah pemerian segar dan baru. Sebagai hasilnya kita bertemu dengan kejutan halus seni. Melalui kata, frasa dan metafora yang diraut oleh pisau yang teliti dan penuh peka.

Strategi pemerian juga cukup segar, jarang kita temui sebelum ini. Ini membuat kita merasa nikmat manik bahasa yang langka dan oleh itu sangat berharga pada zaman di mana semuanya dapat digandakan jutaan kali.

Pada novel ini  juga kita lihat bukti kematangan gaya pengarang dan kebebasan seni yang dinukil daripada pengalaman penulisan yang cukup panjang. Leila Chudori terkenal kerana cerpennya, tetapi novel besar ini  menegaskan bahawa beliau juga mampu menangani bentuk yang lebih besar. Kita juga disedarkan bahawa  seni bentuk kecil dapat digunakan dan malah secara berkesan membantu mencanggihkan bentuk novelnya. Seni ini mewarnai dan menunjukkan sifat kehalusan metafora, dan perincian lukisan. Struktur novel juga ditambah dengan unsur-unsur detail membawa kita ke tengah-tengah persoalan dan pemerian yang lebih meyakinkan.

Selain dialog yang tidak berjela-jela kita menikmati suasana bukan saja di Jakarta dan Paris tetapi di kota-kota lainnya. Untuk menimbulkan suasa Perancis ditaburkan beberapa kata Perancis yang agak biasa dan membawakan kelainan yang ada pada kedua kota ini. Di Paris pula, seperti yang dilakukan oleh pengarang lainnya kata-kata seperti Seine, Eiffel dan Sorbonne. Kata-kata yang muncul dalam ucapan harian juga kita temui dengan cukup banyak:    Monsieur, l’amour, maman, coup de founder dsb. Kesannya cukup mengesan. Tetapi pada saya mengalir di bawah permukaan kesedaran dan melukis suasana.

Pulang ialah sebuah karya penting, yang menceritakan  peristiwa penting yang terlekat pada jiwa bangsa Indonesia. Belum pernah ada novel sebesar ini dan sedalam ini yang cuba menyelongkar, menerokai, dan mengimbangkan kenyataan yang simpang siur ini. Walau pun kematian Dimas dan pulangnya ke Jakarta dalam bentuk sebuah jenazah, terasa  seperti sedikit lemah dan kurang berimbang, tetapi akhirnya kita temukan semacam penyelesaian kepada kemelut besar bangsa. Dan menurut pengarangnya penyelidikan dilakukan di antara pengungsi ini dan keluarga mereka, dan ada kenyataan pada alir utama ceritanya.

Leila berjaya menangani persoalan yang sangat besar, dengan berani, tekun dan teliti. Usahanya disokong oleh bakat dan seni ukiran bahasa yang cukup luar biasa. Saya menikmati karya ini dan sama merasa dan menderita bersama watak-wataknya.

Lelia Chudor I lama bekerja sebagai wartawan majalah mingguan terkenal Tempo. Beliau pernah belajar di Victoria, Kanada dalam Sains Politik dan Kajian Perbandingan Pembangunan. Karya terpentingnya antara lain ialah  Malam Terakhir, dan 9 dari Nadira,  selain puluhan cerpen yang terbit di dalam dan luar negara. Beliau juga seorang penulis skrip drama yang ternama.

 

Dimuat di  majalah Dewan Sastera, Malaysia, April 2014